Hikmah perkahwinan

Perkahwinan merupakan akad yang terjalin antara lelaki dan perempuan yang membolehkan mereka menggauli antara satu sama lain bagi memenuhi tuntutan fitrah. Perkahwinan merupakan ketetapan Ilahi untuk umat manusia dan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t. Setiap makhluk diciptakan dalam keadaan berpasang-pasangan sedangkan Allah s.w.t. adalah Maha Esa dan tidak berhajat kepada makhluk. Antara lelaki dan wanita ada perasaan saling memerlukan dan saling melengkapi baik dari sudut rohani, aqliah, sosial, jasmani, emosi dan naluri seks. Satu-satunya jalan untuk memenuhi keperluan-keperluan tersebut ialah dengan perkahwinan.

Perkahwinan menurut Islam adalah salah satu institusi kekeluargaan asas dalam sistem sosial masyarakat Islam. Tujuan yang utama ialah meneruskan entiti manusia di bumi dan menjaga keturunan agar jelas dan tidak ada sebarang keraguan.


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Diriwayatkan daripada Abdullah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami: "Wahai sekalian pemuda, sesiapa di kalangan kamu yang mampu menyediakan perbelanjaan perkahwinan maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya itu lebih menahan pandangan (daripada melihat wanita) dan lebih menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana ia dapat menundukkan nafsunya. [1]

Dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. mengarahkan para pemuda menyiapkan diri untuk menggabungkan diri dalam masyarakat. Manusia tidak diciptakan melainkan dalam keadaan memiliki potensi untuk berinteraksi sesama mereka. Bukanlah sifat semula jadi manusia hidup bersendirian dan memencilkan diri di tempat-tempat yang tidak didiami penghuni.

Rasulullah s.a.w. menyatakan betapa pentingnya pemuda menjaga kesucian diri dengan mengalakkan mereka supaya berkahwin. Mana-mana yang sudah bersedia hendaklah segera melaksanakan perintah ini. Walau bagaimanapun, persediaan yang harus dilakukan oleh mereka adalah dari semua sudut bukan sudut kewangan semata-mata. Maskahwin perlu disediakan dalam keadaan yang tidak membebankan mana-mana pihak. Begitu juga aspek kesihatan supaya tidak menimbulkan sebarang kemudaratan di kemudian hari. Sabda Rasulullah s.a.w.

عن أبي سعيد الخدري رضي الله تعالى عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : لا ضرر ولا ضرار حديث حسن . رواه ابن ماجة والدارقطني وغيرهما مسندا ، ورواه مالك في الموطأ مرسلا

Daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak ada (dalam Islam) kemudaratan dan kemudaratan kepada orang lain."[2]

Oleh itu, jika seseorang itu mempunyai kelengkapan dan kemampuan untuk berkahwin maka janganlah dia menangguhkannya.

Secara asasnya, apabila seseorang itu memasuki alam perkahwinan maka bermula kehidupannya sebagai pemimpin iaitu sekurang-kurangnya pemimpin rumahtangga dan bagi isteri pula pembantu kepada kepimpinan itu. Seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ فِي أَهْلِهِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا رَاعِيَةٌ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا

Diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Umar bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda: "Setiap kamu adalah penjaga dan akan ditanya tentang jagaannya. Pemerintah merupakan penjaga dan akan disoal tentang jagaannya. Seorang lelaki adalah penjaga ahli keluarganya dan akan disoal tentang jagaannya. Seorang wanita di rumah suaminya adalah seorang penjaga dan dia akan ditanya tentang jagaannya. [3]


Dalam hal ini, Sayyidina Umar berpesan:
تفقهوا قبل أن تسودوا
Hendaklah kamu mendalami ilmu sebelum dilantik menjadi pemimpin.[4]

Ini menunjukkan bahawa persediaan dari segi ilmu juga tidak boleh diabaikan oleh calon suami isteri. Selain dari ilmu fardu 'ain, ilmu lain yang ditekan termasuklah psikologi, kemasyarakatan, kesihatan, pengurusan rumahtangga dan sebagainya.

Maksud asas dan maksud sekunder perkahwinan

Maksud Islam mensyariatkan perkahwinan dapat dibahagikan kepada maksud utama dan maksud sekunder. Maksud utama ialah menjaga keturunan dan kedua, supaya kewujudan manusia di dunia tidak terhenti dan terputus. Secara ringkasnya matlamat perkahwinan yang utama ialah memperolehi anak dan zuriat. Kepentingan anak dalam perspektif Islam dapat dilihat dengan jelas dalam hadis:

عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَمَنْصِبٍ إِلَّا أَنَّهَا لَا تَلِدُ أَفَأَتَزَوَّجُهَا فَنَهَاهُ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَنَهَاهُ فَقَالَ تَزَوَّجُوا الْوَلُودَ الْوَدُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمْ

Daripada Ma'qil bin Yasar katanya, seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w. seraya berkata: "Wahai Rasulullah, saya telah mendapati seorang wanita yang berketurunan dan berkedudukan cumanya dia tidak dapat melahirkan anak, apakah saya patut berkahwin dengannya?" Lalu baginda melarangnya. Kemudian dia datang pada kali yang kedua tetapi baginda melarangnya. Kemudian dia datang pada kali yang ketiga namun baginda tetap melarangnya seraya bersabda: "Berkahwinlah dengan perempuan yang melahirkan anak ramai lagi penyayang kerana sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya bilangan kamu."[5]

Mencari keberkatan dengan doa anak yang soleh.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.[6]

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ مَا يُخَلِّفُ الرَّجُلُ مِنْ بَعْدِهِ ثَلَاثٌ وَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ وَصَدَقَةٌ تَجْرِي يَبْلُغُهُ أَجْرُهَا وَعِلْمٌ يُعْمَلُ بِهِ مِنْ بَعْدِهِ
Daripada Abu Qatadah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sebaik-baik perkara yang ditinggalkan oleh seseorang selepas (setelah meninggal dunia) tiga perkara: anak soleh yang berdoa untuknya, sedekah yang berkekalan yang menyampaikan pahalanya kepadanya dan ilmu yang diamalkan selepasnya." [7]

[1] al-Bukhari, no: 1905, Muslim, no: 1400
[2] Riwayat Ibn Majah dan al-Daruqutni, Imam Malik meriwayatkan secara mursal dalam al-Muwata`.
[3] al-Bukhari, no: 2554, Muslim, no: 1829
[4] Ibn Abu Shaybah, Kitab al-Musannaf, jil. 8, hal. 540
[5] al-Nasa`i, no: 3228, Abu Daud, no: 2050, lafaz hadis ini mengikut riwayat al-Nasa`i.
[6] Hadis Muslim, no: 1631, al-Nasa`i, no:3651, Abu Daud, no: 2880, al-Tirmizi, no: 1376
[7] Ibn Majah, no: 241

Sumber : http://maqasidaurtaklif.blogspot.com/2011/07/matlamat-dan-hikmat-perkahwinan-dari.html

0 comments:

Listen Quran

Listen to Quran

Powered By Sayang Islam

Blogger Widgets