Suami Soleh & Isteri Solehah



Ciri-ciri Suami Soleh

Seorang pakar sakit jiwa mengatakan: "Menghormati isteri termasuk di dalam soal yang amat penting kerana seorang isteri merasa dirinya lemah atau dipandang lemah. Pada umumnya, kaum wanita mengamalkan pelajaran yang buruk hingga melekat pada sifat-sifatnya, seperti suka berdusta, tidak boleh dipercayai, nifaq (lain di mulut, lain di hati) dan sebagainya. Apabila kita tanamkan rasa menghargai diri di dalam jiwanya, kita menghormati keperibadiannya dan kita jaga kehormatannya. Kita dapat memperkuat keperibadiannya dan membuatnya sanggup menghadapi gelombang dahsyat yang mungkin akan dihadapi selama perjalanan hidupnya. Dengan menanamkan kepercayaan kepada diri sendiri dan dengan penghargaan yang kita berikan itu, ia akan dapat mengatasi kelemahan jiwanya sehingga ia tidak mudah diperdaya dan tidak mudah tergelincir ke dalam perbuatan yang rendah dan sia-sia."

 

  • Mentaati Allah dan Rasul dengan mengerjakan segala perintah dan menjauhi segala larangan.
  • Mendirikan rumah tangga semata-mata kerana Allah dan demi memenuhi tuntutan agama.
  • Melayani dan menasihati isteri dengan cara yang baik.
  • Menjaga hati dan perasaan isteri.
  • Sentiasa bertolak ansur dan selalu membantu isteri.
  • Tidak menyuruh sesuatu di luar kemampuan isteri.
  • Kuat kesabaran dan menghindari daripada menyakiti isteri, seperti memukul atau dengan perkara yang memudaratkan, yang tidak dibenarkan syariat.
  • Tidak mengeji isteri di hadapan orang lain ataupun memuji wanita lain di hadapan isteri.
  • Menerima kelemahan isteri dengan hati yang terbuka.
  • Mengelakkan daripada terlalu mengikut kemahuan isteri kerana ia akan menjejaskan imej dan prestasi sebagai ketua keluarga.
  • Memberi nafkah kepada ahli keluarganya dengan sedaya kemampuan.
  • Menyediakan keperluan dan tempat tinggal yang selesa.
  • Bertanggungjawab mendidik akhlak ahli keluarganya.
  • Sentiasa mengambil berat tentang keselamatan mereka.
  • Memberikan kasih sayang dan berkorban demi kebahagian bersama.

 

Seorang lelaki datang menemui al-Hasan bin Ali r.a meminta nasihat dan bertanyakan tentang lelaki yang bagaimanakah yang layak dikahwinkan dengan puterinya.

 

Ia berkata: "Anak perempuanku dipinang oleh beberapa orang lelaki, dengan siapakah yang sebaiknya aku mengahwinkannya?" al-Hasan menjawab: "Kahwinkanlah dia dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah, sebab kalau ia mencintai isterinya ia pasti menghormatinya, tetapi kalau tidak menyukainya ia pasti tidak akan berlaku zalim terhadapnya."

 

Ciri-ciri Isteri Solehah

Banyak ciri yang perlu disemai dalam diri seorang isteri yang solehah, antaranya:

  • Segera menyahut dan hadir apabila dipanggil oleh suami. Rasulullah s.a.w bersabda, yang maksudnya: "Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isteri itu menolak. Kemudian, suami itu bermalam dalam keadaan marah, maka isterinya itu dilaknat oleh para malaikat sehingga waktu pagi."
  • Tidak membantah perintah suami selagi tidak bertentangan dengan syariat.
  • Tidak bermasam muka terhadap suami.
  • Sentiasa menuturkan kalimah yang baik-baik.
  • Tidak membebankan suami dengan permintaan di luar kemampuan suami.
  • Keluar rumah hanya dengan izin suami.
  • Berhias hanya untuk suami.
  • Menghargai pengorbanan suami.
  • Tidak membenarkan orang yang tidak diizinkan suami masuk ke dalam rumah.
  • Menerima tunjuk ajar daripada suami.
  • Menghormati mertua serta kaum keluarga suami.
  • Sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih.
  • Menjadi penenang dan penyeri rumah tangga.

 

Dinyatakan di sini beberapa tips untuk mendidik isteri, antaranya:

  • Allah membekalkan kepada lelaki kekuatan akal, rasional, tidak mudah didorong oleh perasaan. Wanita pula berjiwa sensitif dan mudah tersinggung. Justeru, kekuatan akal jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah kekuatan fizikal, suami boleh menjadi pendidik yang kreatif.
  • Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Justeru, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir dan strategi.
  • Kaum wanita dibekalkan dengan sembilan nafsu dan satu akal berbanding dengan lelaki yang diciptakan dengan hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukan nafsu seks semata-mata, tetapi nafsu tidak penyabar, mudah prasangka, cemburu, cepat merajuk dan sebagainya. Dari dorongan nafsu itulah, lahirnya pelbagai perasaan pada wanita.
  • Dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh sahaja pertimbangan akal. Sebab itulah wanita mesti dibimbing lelaki agar tindak tanduknya tidak mengikut perasaan semata-mata.
  • Tahu sedikit sebanyak ilmu psikologi wanita. Ini dapat dimanfaatkan suami dalam mendidik isteri.

 

Kebijaksanaan perlu disertai dengan kesabaran. Kesabaran tanpa kebijaksanaan membawa kepada suami menurut semahu-mahunya kemahuan isteri. Tanpa kesabaran, boleh hilang pertimbangan akal dan tidak bertindak secara rasional.

Akhirnya, penulis menutup perbincangan ini dengan memohon doa daripada Allah s.w.t, seperti yang diajar dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa." (al-Furqan: 74)


Sepuluh Wasiat Untuk Puteri Umamah

Umamah telah mewasiatkan kepada puterinya yang akan berkahwin dengan al-Harith bin Amru. Katanya: Wahai puteriku! Ada sepuluh perkara yang inginku berikan pedoman kepadamu dan sebagai panduan untukmu dalam kehidupan berumahtangga:

 

  • Jalinkan hubungan dengan suami dengan penuh ketaatan. Perhatikan kesukaannya dan jangan sampai dia melihat sesuatu yang buruk daripadamu atau tercium sesuatu yang tidak enak daripadamu.
  • Sentiasalah membanggakan suamimu kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu.
  • Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya (selagi tidak bertentangan dengan syariat) nescaya, dia akan bersikap lembut terhadapmu.
  • Uruskan rumah tangga dengan baik dan sempurna.
  • Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya.
  • Simpanlah segala rahsianya dengan baik. Jangan sesekali kamu membantah suruhannya       kerana ini akan melukakan hatinya.
  • Jagalah waktu makan dan waktu istirehatnya kerana perut yang lapar akan membuatkan darah cepat naik. Tidur yang tidak cukup akan menimbulkan keletihan.
  • Jika dia sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan. Kamu mesti pandai mengikut suasana hatinya.
  • Hiasilah dirimu selalu agar dia gembira apabila memandangmu.
  • Jadikanlah dirimu itu sebagai pembantu kepadanya, nescaya dia akan menjadi penolong pula kepadamu.


Sumber : http://www.dakwah.com.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=360:wanita-solehah-keindahannya-dalam-islam&catid=124:tafsir&Itemid=341

0 comments:

Listen Quran

Listen to Quran

Powered By Sayang Islam

Blogger Widgets