Kisah Tempe Tak Jadi


Adat orang berniaga, pasti ada rugi, pasti juga ada untungnya. Namun jika rugi, bukan alasan untuk kita mengeluh kepada Allah, akan tetapi sentiasalah berdoa agar kita sentiasa diperbanyakkan rezeki dari Allah. Kisah yang berkisarkan tentang penjual tempe ini, wajahnya sedih kerana tempe yang dibuat langsung tidak menjadi, dan tidak laku ketika dijual di pasar. Memang secara logiknya, memang tiada siapa yang akan membeli tempe yang belum siap dimasak bukan. Jom ikuti bagaimana pengakhiran kisah ini dan semoga kisah ini dapat memupuk perasaan sentiasa bersyukur atas ketentuan yang Allah dan tentukan untuk kita.


Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum masak lagi.


Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu.Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil.

Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Tuhan , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"


Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.


Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".


Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul.


Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.


Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.


Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia punmembuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.


Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil.Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.


Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya.

Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Tuhan, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."


Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi."


Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya" Tuhan, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".


Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Tuhan. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.


Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…


Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Allah s.w.t sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah s.w.t lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.


Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah s.w.t akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.



Apa yang kita mahukan juga tidak semestinya apa yang terbaik untuk kita.

Allah S.W.T Maha Mengetahui segalanya.


Sumber : http://mirlme.com/kuasa-doa-yang-menakjubkan-kisah-tempe-tak-jadi-makcik-terjual/

Kelebihan Bulan Rejab

BULAN REJAB MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AS-SUNNAH


Pengenalan

1. Rejab ertinya "Mulia". Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu: -


(i) Tanggal 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai qurban.

(ii) Tanggal 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Ka'abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.

(iii) Tanggal 10hb Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.

(iv) Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.

2. Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra' dan Mi'raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama' mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama' bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra' dan Mi'raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.

3. Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.


Bulan Rejab Menurut Al-Quran

Al-Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung iaitu surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37). Di antara dalil al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud:-

"Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati,…"
(Al-Baqarah: 194)

"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram ¹ …"
(At-Taubah: 36)

Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram. Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu.

Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.

Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.

(1) Maksudnya antara lain ialah: bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab)

(2) Dikatakan juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.


Bulan Rejab Menurut As-Sunnah

Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya, "Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama" Ujar Nabi SAW, "Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, "Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam" Maka tanya Rasulullah SAW "Kenapa kamu seksa dirimu?" Lalu sabdanya "Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!" Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. "Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. "Tambahlah lagi!" Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda "Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).

Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.

Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya'aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya'aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.


Perselisihan Pendapat Mengenai Hadis-Hadis Berkaitan Kelebihan Bulan Rejab


Memang terdapat banyak hadis yang menyebut secara khusus mengenai kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan Rejab. Ulama berselisih pendapat sama ada hadis-hadis ini boleh diterima untuk diamalkan atau ditolak berdasarkan penilaian hadis-hadis yang diklasifikasikan sebagai dha'if, sangat dha'if dan maudhu' (palsu). Sebahagian ulama dan para pendakwah masa kini mengambil sikap berhati-hati dan sebahagiannya menolak hadis-hadis ini dan melarangnya disampaikan kepada masyarakat. Di antara contoh hadis-hadis mengenai bulan Rejab yang adalah seperti berikut: -

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; "Rejab bulan Allah, Sya'aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku".

(Hadis ini dikatakan mun'kar bahkan dianggap maudhu' dan tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan)

"Dalam syurga ada sebuah sungai bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. sesiapa berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya diberi minum air sungai itu".

(Hadis ini juga dhai'f)

"Sesiapa berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan. Sesiapa berpuasa 7 hari nescaya ditutup daripadanya 7 pintu neraka Jahannam. Sesiapa berpuasa 8 hari, nescaya dibuka 8 pintu syurga". (Hadis ini dha'if)

Perbahasan: Penentuan sesuatu hadis sama ada ianya sahih, hasan, dha'if dan sebagainya disebabkan oleh perawi (pembawa)nya. Ini memerlukan satu perbincangan yang panjang. Kita bersetuju bahawa apabila sesuatu hadis yang hendak disampaikan oleh seseorang penceramah, beliau hendaklah menyebut kedudukan hadis tersebut dan siapa yang meriwayatnya. Perlu dijelaskan di sini bahawa adalah tidak patut hanya disebabkan hadis itu dha'if, maka ia perlu diketepikan dan ditolak mentah-mentah. Hadis dha'if adalah tetap hadis dan ia bukannya maudhu'. Penilaian ulama terhadap perawi sesuatu hadis adalah berbeza-beza. Seseorang ulama hadis mungkin menilai hadis itu dha'if atau maudhu' pada kajiannya sahaja akan tetapi kepada ulama hadis yang lain ia tidak begitu. Sekiranya seorang atau dua ulama yang menilai sesuatu hadis itu dha'if tidaklah sampai menjejaskan hadis tersebut. Mungkin di antara perkara ganjil yang terdapat di dalam hadis yang dianggap dha'if ialah besarnya ganjaran pahala yang dijanjikan apabila kita melakukan sesuatu amalan yang dianggap sedikit. Perkara ini janganlah dijadikan persoalan kerana ganjaran yang besar itu hanya pada anggapan akal fikiran kita sahaja tetapi ianya adalah kecil di sisi Allah SWT yang Maha Kaya dan Maha Pemurah untuk hamba-hambaNya yang sentiasa mencari dan mengharapkan rahmat serta keredhaanNya.

Selain berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa', solat sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir. Dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi ada menyebutkan "Malam awal Rejab mustajab doa'nya".

Marilah sama-sama kita merebut peluang-peluang keemasan yang terdapat dalam bulan Rejab ini dengan memperbanyakkan amalan kebaikan. Namun begitu, setiap amalan mestilah bersandarkan kebenaran dan tidak terkeluar dari batas yang dibenarkan termasuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara bid'ah.

Wallah hu'alam bissawab.

Sumber : http://nasbunnuraini.wordpress.com/2007/08/01/bulan-rejab-menurut-perspektif-al-quran-dan-as-sunnah/
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2007/08/01/bulan-rejab-menurut-perspektif-al-quran-dan-as-sunnah/

Listen Quran

Listen to Quran

Powered By Sayang Islam

Blogger Widgets